MARAZIMO’S

Blog alternatif

Kenapa BN Menang?

Posted by marazimo di Rabu Mac 12, 2008

12 March 2008

Kenapa BN Menang?

Aku tidak mahu membentangkan di sini tentang apa agaknya punca-punca kemerosotan BN dalam PRU 12 ini. Berpuluh-puluh pensyarah, profesor, penganalisis, pakar dan entah apa lagi jemputan sudah dijemput ke program-program forum di TV untuk membincangkan apa agaknya penyebab Pak Lah dan BN tersungkur. Berpuluh-puluh artikel, rencana, wacana dan entah apa lagi sudah tertulis di dada akhbar tentang apa sial agaknya yang membuatkan sebahagian rakyat Malaysia menolak kepimpinan Islam Hadhari.

Dan aku tahu kebanyakan dari kamu semua malas mahu menonton program-program forum di TV kerana kadangkala mereka menjemput profesor kangkung yang bercakap baik sahaja tentang BN dan buruk semuanya tentang parti lawan. Jadi untuk penulisan politik kedai kopi yang mudah, aku sarankan kamu baca di Jelebu tentang teori-teori tersungkurnya BN.

Tapi apa yang akan aku bentangkan di sini ialah kenapa pada hari ini Pak Lah masih bersemayam di Seri Perdana dan kerajaan Persekutuan yang terbentuk hari ini ialah kerajaan Barisan Nasional.

BN kekal sebagai kerajaan terima kasih pada para pengundi di Johor, Sabah dan Sarawak. Ya, tiga negeri kubu kuat BN yang hidup dan mati bersama BN, yang majoriti tangan-tangan di sana tidak boleh pangkah di petak lain selain dari yang di sebelah dacing.

Pada hari ini BN menguasai 140 kerusi parlimen berbanding barisan pembangkang yang menduduki 82 kerusi. BN gagal mencapai majoriti 2/3 (yang memerlukan 148 kerusi) tetapi masih lagi memiliki majoriti mudah untuk membentuk kerajaan Persekutuan. Sejumlah besar dari undi-undi ini disumbangkan oleh tiga negeri di atas. Di 3 negeri ini BN memenangi sejumlah 79 kerusi parlimen sementara parti-parti pembangkang hanya membolot 3 kerusi. Andaikan jika undi di 3 negeri ini tidak diambil kira, berapakah jumlah kerusi parlimen untuk BN dan barisan pembangkang?

61 kerusi untuk BN dan 79 untuk pembangkang. Jawapannya kita menyaksikan tertubuhnya kerajaan PAS-DAP-PKR sementara BN bertukar menjadi pembangkang di Dewan Rakyat. Mungkin juga akan berlaku perpecahan di dalam BN sendiri dengan beberapa parti komponen mengambil langkah keluar dari gabungan itu.

Hanya tolak 3 negeri dan BN sudah kehilangan lebih separuh dari kerusi parlimen mereka. Memang agak kartun.

Aku tidak salahkan para pengundi di 3 negeri kubu kuat BN ini. Undi itu hak masing-masing. Orang Johor yang bersongkok tinggi, berbaju Melayu tanpa kolar (Teluk Belanga) dan tidak tuck-in baju semasa bersampin panjang memang lain dari orang di negeri lain.

UMNO lahir di Johor. Walau buruk macam mana sekalipun UMNO di negeri lain tetapi bagi orang Melayu Johor UMNO ialah intipati dan warisan mereka. Parti yang ditubuhkan di Johor Bahru pada 1946 dan dikepalai oleh anak Johor bernama Onn Jaafar memang mempunyai nilai sentimental yang mendalam untuk orang Johor.

Sementara di Sabah dan Sarawak pula rasa tidak senang dengan pengaruh dan monopoli elemen-elemen Semenanjung mungkin menjadi punca kenapa BN berkuasa dengan mudah. Malahan BN sendiri pun mengharapkan parti-parti komponen Sabah dan Sarawak untuk bertanding di pulau Borneo, kecuali di Sabah di mana UMNO ada bertanding di beberapa kerusi. Sedangkan DAP dan PKR dilihat sebagai parti politik yang akan hanya meluaskan pengaruh Semenanjung di pulau Borneo. Dan orang pulau Borneo memang tidak selesa dengan pengaruh berlebihan dari Semenanjung. Bukan salah mereka juga.

Bertindak atas faktor inilah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang cukup bijak itu mengatur langkah serta strategi mereka untuk kepentingan BN. Jangan fikir fungsi SPR semata-mata hanya untuk menguruskan pilihan raya. SPR juga bertanggungjawab untuk melakukan kaji selidik dalam setiap pilihan raya umum yang dijalankan.

Pada PRU 12 ini data-data yang telah dikumpul SPR sudah cukup untuk menunjukkan senario mengundi pada masa sekarang. Malah kita sendiri pun tidak perlu jadi pakar sains sosial atau statistik untuk mentafsir mesej yang diperolehi melalui data-data PRU 12 ini.

Yang pertama sekali sudah jelas kecenderungan mengundi parti-parti pembangkang adalah ketara di kalangan pengundi berumur bawah 40 tahun. Dari laporan tidak rasmi oleh saksi-saksi di pusat pengiraan undi diceritakan bahawa kebanyakan undi untuk BN datangnya dari saluran 1 dan 2, sementara undi untuk parti lawan kebanyakannya dari saluran 3 atau 4 dan ke atas. Dan tahulah ke atas Rashid serta konco-konco SPRnya akan kecenderungan golongan muda memangkah bulan, roket atau mata.

Maka hari ini Hishamuddin Hussein, Ketua Pemuda UMNO bercakap tentang perlunya rombakan ke atas BN untuk menarik sokongan orang-orang muda, bukannya pakcik atau makcik di kampung.

Juga yang dapat dilihat pada PRU 12 ini ialah kecenderungan mengundi parti-parti pembangkang begitu jelas dilihat berlaku di kawasan-kawasan bandar (dengan tidak mengambil kira Kedah dan Kelantan). Malahan di Sabah dan Sarawak juga, 2 kerusi parlimen yang dimenangi DAP ialah di P172 – Kota Kinabalu (Sabah) dan P195 – Bandar Kuching (Sarawak). Kedua-duanya ialah ibu negeri dan bandaraya.

Tetapi apa yang lebih penting untuk diteliti oleh SPR dan BN nanti ialah hakikat bahawa negeri-negeri pantai timur dan utara Semenanjung memang negeri yang penduduknya melawan cakap dan tidak setia membuta tuli. Penanam tembakau di Kelantan nampaknya tidak mudah tunduk seperti si penanam nenas di Johor. Pesawah di Kedah rupanya lebih suka melawan berbanding pekebun lada hitam di Sarawak. Mereka ini dan dicampur dengan pengundi-pengundi kawasan bandar serta golongan muda adalah punca kemerosotan BN kali ini.

Lalu dalam tempoh 5 tahun yang akan datang, sejajar dengan perubahan demografi dan pembangunan fizikal, SPR bakal melakukan persempadanan semula dan mungkin beberapa kawasan parlimen dan DUN yang baru akan diwujudkan. Dan kemungkinan kita akan melihat kawasan parlimen baru ini diwujudkan di 3 negeri kubu kuat BN itu sangatlah besar.

Bahkan pada masa ini, Sarawak yang mempunyai 912,454 pengundi diwakili dengan sejumlah 31 kerusi parlimen sedangkan Selangor dengan pengundi berjumlah 1,565,494 diwakili oleh hanya 22 kerusi. Juga harus diingat 3 kawasan parlimen baru yang diwujudkan pada 2006 letaknya di Sarawak. Begitu juga dengan Sabah yang mempunyai pengundi seramai 807,862 orang tetapi diwakili oleh 25 kerusi parlimen berbanding Kedah yang mempunyai hanya 15 kerusi mewakili 873,674 pengundi.

Jawapan yang mungkin diberikan SPR untuk pengagihan kerusi parlimen sebegini rupa ialah saiz keluasan tiap-tiap negeri. Ya, Sarawak dan Sabah adalah jauh lebih besar dari Selangor dan Kedah. Dan mungkin itu pertimbangan SPR dalam menetapkan jumlah kawasan parlimen tiap-tiap negeri.

Tetapi bagaimana pula dengan Johor yang mempunyai 26 kawasan parlimen berbanding Perak dengan hanya 24? Walaupun saiz keluasan Perak lebih besar dari Johor?

Percayalah, persempadanan kawasan parlimen dan DUN, walaupun menurut SPR mungkin dibuat berdasarkan saiz pengundi atau kawasan, sedikit sebanyak mengambil kira juga kepentingan dan faedah untuk BN di dalam pilihan raya nanti.

Persempadanan yang semacam itulah sebenarnya kadang kala menjadi punca berlakunya pembahagian pengundi yang tidak seimbang. Hinggakan kalau di Perak, DUN Kota Tampan hanya berjumlah 10,614 pengundi sedangkan DUN Manjoi mempunyai 39,640 pengundi untuk memilih seorang wakil rakyat.

Maka pada pilihan raya akan datang, janganlah pula terkejut bila adanya kawasan parlimen baru diwujudkan oleh SPR yang berkemungkinan besar dibuat di 3 negeri kubu kuat BN itu, kerana kata orang, letaklah calon apa pun, majoriti tangan orang di Johor, Sabah dan Sarawak pasti akan pangkah dacing.

Orang Johor, Sabah dan Sarawak, jangan marah ya?

Untuk rekod, BN memperolehi 50.27% undi popular sementara parti-parti pembangkang memperolehi 46.75% undi. BN bagaimanapun menguasai 63.1% kerusi di parlimen.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: