MARAZIMO’S

Blog alternatif

JKKK Umno …. hasutan & ugutan

Posted by marazimo di Jumaat Mac 28, 2008

Jumaat 28 Mac 2008 | 20 Rabi’ul Awal 1429 Hijrah

JKKK Umno jadi ‘Jong Kucar-Kacir Kampung’ akan wujud di Perak
Mat Zain Mat Isa
Fri | Mar 28, 08 | 9:37:01 am MYT
Semata-mata didorong sentimen politik yang melampau, Pertubuhan Ketua-Ketua Kampung Negeri Perak (PKKNP) tergamak melakukan kerja-kerja berunsur menghasut bagi mengkucar-kacirkan pentadbiran kampung-kampung di negeri tersebut.<!—-><!—->Selepas arahannya agar anggotanya memboikot program Kerajaan Negeri Perak tidak mendapat sambutan sepenuhnya, PKKNP kini berusaha pula mengajak 876 anggotanya supaya meletak jawatan beramai-ramai.

Dalam kenyataan disiarkan hampir semua akhbar semalam (Khamis), Presiden PKKNP, Sukiman Jalil berkata, keputusan meletak jawatan itu telah dibuat dalam dua mesyuarat pertubuhan itu sebelum ini. Pihaknya kini dalam proses mengumpul surat-surat peletakan jawatan itu daripada ahli-ahlinya sebelum diserahkan kepada kerajaan negeri bulan depan.

“Kami akan mengha”tar notis satu bulan mulai 1 April. Kami harap semua ahli patuhi keputusan,� kata Sukiman, sebagaimana disiarkan Sinar Harian, Khamis.

Beliau dipercayai merujuk kepada tindakan sebahagian ahlinya yang tidak mengendahkan arahannya sebelum ini agar memboikot majlis perjumpaan dengan Menteri Besar Perak, Ir Mohammad Nizar Jamaluddin.

Majlis tersebut dilaporkan diadakan pada Rabu (26 Mac) dan turut dihadiri sebahagian ketua kampung di negeri itu.

Sebelum ini, Mohammad Nizar telah mengumumkan bahawa kesemua ketua kampung di negeri itu tidak perlu melepaskan jawatan masing-masing. Kerajaan negeri pimpinannya tidak berhasrat menamatkan khidmat mereka dalam masa terdekat.

Pengumuman itu bagaimana pun gagal meredakan kebimbangan dan prasangka melampau PKKNP, terutama disebabkan kerajaan negeri sekarang di bawah kerajaan campuran PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Mereka sebaliknya secara terbuka mengakui tidak bersedia untuk terus berkhidmat di bawah kerajaan negeri baru.

“Ketua kampung adalah lantikan politik dan kita dilantik oleh Umno. Sudah tidak sesuai kita duduk lebih lama ….. Sebelum kerajaan negeri menghantar surat meminta kita meletak jawatan, baik kita sendiri meletak jawatan,” kata Sukiman, sebagaimana dipetik akhbar Berita Harian, Khamis.

Bagi Pengerusi PKKNP, Alang Abdul Rahman Ahmad Azri pula, tindakan mereka melepaskan jawatan itu akan memudahkan kerajaan negeri melantik pengganti mereka.

“Jika kita meletak jawatan, kita beri laluan kepada mereka (kerajaan negeri baru) melantik ketua kampung (pilihan) mereka. Sekarang dia nak lantik tidak boleh, sebab kita ada,” katanya, sebagaimana dipetik Berita Harian.

Sepintas lalu, kenyataan itu seakan menggambarkan sikap sangat bertanggungjawab PKKNP dalam memberikan ruang selesa kepada kerajaan negeri Perak menyelesaikan isu pentadbiran kampung-kampungnya.

Bagaimana pun, pengunduran angota-anggota PKKNP itu tidak dengan niat sesuci itu. PKKNP sebaliknya berhasrat menghidupkan semula peranan ketua-ketua kampung itu menerusi bantuan terus daripada kerajaan Pusat.

Alang Abdul Rahman berkata, PKKNP akan berusaha supaya bekas ketua kampung itu dilantik semula sebagai pemimpin masyarakat dengan mendapat elaun sehingga RM1,000 sebulan.

Beliau dan Sukiman akan berjumpa dengan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd Taib untuk memastikan elaun itu akan terus diterima mereka.

“Jangan bimbang mengenai elaun kerana PKKNP akan mengadakan perjumpaan dengan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, kami akan pastikan elaun terus diterima,” kata Sukiman kepada anggota-anggotanya.

Kenyataan terbuka itu menjelaskan maksud sebenar PKKNP mengarahkan 876 anggotanya meletakkan jawatan. Mereka dalam usaha mewujudkan wakil kepada kerajaan kedua di setiap kampung di Perak sekarang.

Malah, menurut Alang Abdul Rahman lagi, keputusan yang mereka buat itu telah mendapat persetujuan dua pemimpin kanan Umno Perak, termasuk bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Tajol Rosli Ghazali.

Barangkali PKKNP telah mengambil teladan daripada tindakan serupa yang pernah dibuat Umno Terengganu ketika negeri itu diperintah PAS dulu. Kerajaan PAS Terengganu telah memansuhkan institusi pentadbiran di peringkat kampung yang dinamakan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Di Terengganu, pelantikan ketua kampung didahului oleh pemilihan anggota JKKK. Menurut amalannya, sesiapa juga yang dipilih sebagai Pengerusi JKKK secara automatik memegang jawatan ketua kampung berkenaan.

Sebagai ganti JKKK, kerajaan PAS memperkenalkan Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR). Pengerusi JSR juga secara automatik menjadi ketua kampung.

Penubuhan jawatankuasa pentadbir kampung, sama ada dinamakan JKKK mahu pun JSR, adalah jelas di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Kerajaan Pusat bagaimana pun bertindak menghidupkan semula institusi JKKK di Terengganu. Segala imbuhan dan aktiviti mereka dibiayai kerajaan Pusat menerusi pembiayaan Wang Ehsan.

Tiada yang dipedulikan Umno walau pun tindakan itu amat bertentangan dengan prinsip pengasingan kuasa antara kerajaan negeri dan kerajaan Pusat sebagaimana dijamin Perlembagaan Persekutuan. Ia campurtangan yang jelas oleh kerajaan Pusat dalam hal pentadbiran kerajaan negeri.

Kewujudan semula JKKK bagi menyaingi JSR yang ditubuhkan kerajaan negeri mendatangkan lebih banyak keburukan berbanding kebaikan. Perpecahan masyarakat akar umbi semakin ketara, terutama apabila semua keputusan dan tindakan JKKK dibuat mengikut arahan dan pengaruh politik Umno.

JKKK akhirnya muncul sebagai agen mengkucar-kacir dan memporak-perandakan perpaduan masyarakat kampung. Sebab itu, di Terengganu, akronim JKKK bukan lagi disebut sebagai ‘Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung’, tetapi sering dilabelkan sebagai ‘Jong Kucar-Kacir Kampung’. Jong dalam bahasa Terengganu bermaksud tukang atau orang yang melaksanakan sesuatu tugas.

Dalam perkembangan serupa yang sedang dipelopori PKKNP di Perak kini, apakah ketua-ketua kampung di sana juga mahu mereka diberikan gelaran serupa rakan senasib mereka di Terengganu itu? – mr

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: