MARAZIMO’S

Blog alternatif

Kementerian Penerangan wujud segmen khas penulis blog

Posted by marazimo di Jumaat April 4, 2008


Author: admin | Files under Nasional

4 Apr | 1.00am
KUALA LUMPUR: Kementerian Penerangan akan mewujudkan satu segmen khas berita setiap Ahad bagi membolehkan penulis-penulis blog atau ‘bloggers‘ memberikan pendapat mengenai pelbagai isu secara langsung menerusi televisyen.

Menterinya, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata program itu yang akan berlangsung selama 20 minit bermula 20 April ini akan disiarkan di RTM 1 pada setiap hari Ahad sebagai salah satu segmen dalam Warta Perdana.

Beliau berkata keputusan berkenaan bukan sahaja memberi ruang kepada golongan itu meluahkan pandangan masing-masing, bahkan turut membuktikan keterbukaan kerajaan dalam berurusan dengan media alternatif.

“Seperti yang dimaklumkan bahawa kementerian akan lebih terbuka dengan media alternatif, kami akan adakan slot khas ini, yang bertujuan membincangkan sebarang isu semasa atau yang ditimbulkan oleh ‘bloggers‘.

“Saya percaya ini langkah ke hadapan yang sentiasa ditunggu dan dialu-alukan oleh rakyat,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Angkasapuri di sini semalam.

Ahmad Shabery berkata keputusan itu adalah petanda bahawa kerajaan sentiasa yakin dengan mandat yang diberi oleh rakyat sebelum ini, sekaligus menggambarkan kekuatan kerajaan yang tidak perlu bimbang dan berselindung dalam apa jua keadaan.

Mengulas mengenai pemilihan ‘bloggers’ untuk ditemuramah, beliau berkata perkara itu akan ditentukan oleh panel pemilih RTM dari semasa ke semasa, bergantung kepada isu yang dibincangkan.

“Kita tengok pada isu, bukan personaliti. Selain ‘bloggers‘ yang sudah terkenal, mungkin kita akan cungkil bakat baru yang boleh kita ketengahkan. Ini kita serahkan pada kebijaksanaan RTM untuk membuat keputusan. Bukan pihak menteri yang tentukan,” katanya.

Mengenai kemungkinan tetamu bersikap di luar kawalan atau bercakap tanpa batasan, Ahmad Shabery berkata beliau positif semua tetamu undangan itu akan mengikut tata tertib yang ditentukan.

Keterbukaan itu katanya, secara tidak langsung akan mendorong para ‘bloggers‘ yang ditemuramah untuk bersikap lebih bertanggungjawab.

“Ini proses mendidik bahawa keterbukaan ini perlu dilihat dari sudut yang positif. Ini ruang untuk mereka menyampaikan suara hati dan pendapat masing-masing dengan cara yang sopan. Saya yakin mereka akan menghormati keterbukaan ini,” katanya.

Ahmad Shabery turut mengumumkan keputusan Kabinet untuk menyiarkan secara langsung sesi soal jawab di Parlimen pada setiap hari persidangan bermula 30 April ini.

Beliau berkata perkara itu telah dipersetujui oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan jemaah menteri yang lain semasa mesyuarat, semalam.

“Sesi soal jawab itu akan disiar selama 30 minit bermula pada pukul 10 pagi setiap hari semasa persidangan.

“Kita menganggap kesediaan Kabinet untuk membenarkan siaran langsung menggambarkan betapa kerajaan sekarang lebih yakin, lebih terbuka dan lebih telus seperti yang kita janjikan kepada rakyat,” katanya.

Program itu yang akan disiarkan di RTM 1 dan radio Klasik Nasional turut melibatkan sesi temubual bersama anggota Parlimen, termasuk daripada parti pembangkang.

“Sesi soal jawab selama 30 minit itu dibuat dalam segmen kedua. Segmen pertama, juga dalam program yang sama melibatkan temuramah dengan ahli-ahli Parlimen,” katanya. – Bernama

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: